logoperaknews

banner-hitam

11887923 10205968977918128 322383314835866431 n

Krisis ekonomi pada 1997 adalah lebih teruk daripada ketika ini tetapi berjaya diatasi kerana adanya sokongan anggota pentadbiran kepada perdana menteri ketika itu, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Sehari dua ini, orang selalu sebut mengenai nilai Ringgit, kalau kita ingat krisis ekonomi 1997 lagi dahsyat dari sekarang.

"(Nilai) Ringgit Malaysia jatuh, masa itu hutang badan syarikat dalam Dollar, bank kita pula di bawah capitalise dan terpaksa kita tambat Ringgit tapi akhirnya kita berjaya melepasi krisis itu," katanya ketika berucap merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Gerik di Dewan Serbaguna Gerik di sini pada Ahad.

Beliau berkata anggota pentadbiran mahupun anggota UMNO perlu yakin kepada pucuk pimpinan yang menerajui sekarang bagi menjamin masa hadapan negara.

"Kalau nak kira masalah, zaman saya boleh kata tiada berapa banyak masalah, zaman orang lain yang memerintah 22 tahun barangkali lebih besar masalahnya, tetapi setiap masalah itu berjaya dilepasi kerana orang macam saya beri sokongan padu ketika itu," katanya.

"Kalau nak cakap, semua negara yang eksport komoditi semua jatuh (mata wang). New Zealand lagi teruk ... tiada isu 1MDB (1Malaysia Development Berhad) tapi keadaan lebih teruk. Ini sebab faktor-faktor luar kawalan kita," katanya.

Najib berkata isu kenaikan harga minyak atau getah yang dikaitkan dengan krisis ekonomi masa kini merupakan permainan politik.

"Siapa boleh kawal harga minyak Malaysia, tak boleh. Kita boleh kawal harga getah? tak boleh. Ia sebenarnya bergantung kepada pasaran dunia. Bila ekonomi China berkembang orang beli kereta, bila menguncup orang kurang beli kereta, kurang beli tayar (diperbuat daripada getah), itu sebabnya harga getah menurun.

"Yang menjadi beban apabila jadi Perdana Menteri bila harga minyak naik, PM salah. Bila harga minyak turun, tiada pula dapat 'credit' (pujian). Tetapi bila RON 95 naik, Perdana Menteri juga yang kena. Ini tidak betul, ini mainan politik," katanya.

Sementara itu, beliau mengingatkan anggota UMNO agar tidak terpedaya dengan taktik kotor dalam menjatuhkan parti berkenaan.

"Ini soal 'game of perceptions' (mainan persepsi). Kalau tak saya, isteri saya yang kena. Kalau sesuatu isu itu dilemparkan hari-hari, pembohongan yang diulang banyak kali akan dianggap sebagai benar, kalau kita ulang-ulang.

"Contohnya isu 1MDB itu diulang-ulang, sampai Tabung Haji nak beli (tanah 1MDB) pun dijadikan isu. Ini menjadi permainan media sosial, Tabung Haji akhirnya melepaskan wang pelaburan," katanya.

Najib berkata keuntungan daripada pelaburan, Tabung Haji akan memberikan subsidi menunaikan haji dengan orang ramai hanya perlu membayar RM9,998 daripada jumlah sebenar RM17,000.

"Kalau Tabung Haji tidak buat keuntungan macam mana nak menampung perbelanjaan tambahan untuk bantu semua. Sekali lagi kita jadi mangsa mainan persepsi politik, sehingga ia lebih besar dari realiti, ini paradigma politik hari ini," kata perdana menteri.

Turut hadir Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Ketua UMNO Bahagian Gerik Datuk Hasbullah Osman.

Search

FeedBurner Subscription

FeedBurner Subscription